Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia menegaskan tekanan oleh pemborong dan pembekal menyebabkan seramai dua juta ahlinya terpaksa menaikkan harga barangan sehingga dipersalahkan pelbagai pihak.

Presidennya, Datuk Ramli Norani berkata, tindakan pemborong dan pembekal yang berdegil untuk tidak menurunkan harga barangan telah memberi kesan terutama kepada penjaja dan peniaga kecil kerana mereka adalah golongan yang berurusan secara langsung dengan pengguna.

“Sekiranya pemborong dan pembekal tidak menurunkan harga, yang kena tempiasnya adalah kami (penjaja dan peniaga kecil) kerana pengguna membeli barangan daripada kami bukannya pemborong dan pembekal,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ramli menegaskan, pemborong dan pembekal tidak sepatutnya menggunakan isu lain seperti tarif elektrik sebagai alasan untuk tidak menurunkan harga barang.

Katanya, langkah kerajaan untuk memanggil pemborong dan pembekal bagi membincangkan isu tersebut adalah tepat pada masanya.

“Kerajaan sudah menurunkan harga minyak jadi kenapa mereka tidak boleh turunkan harga barangan pada tahap yang lebih munasabah dan berpatutan.

“Kerajaan sudah bertindak tegas untuk menangani isu ini dan pihak kami menyokong sebarang usaha atau kempen memboikot mana-mana peniaga yang masih tidak menurunkan harga barangan,” katanya. - Utusan Online

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Top