Kerajaan akan mengumumkan keputusannya tidak lama lagi berhubung cadangan mewujudkan Skim Insurans Pekerjaan, bagi membantu pekerja yang diberhentikan, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Beliau berkata skim yang dicadangkan itu adalah satu daripada dasar utama intervensi yang ingin diteroka Malaysia untuk lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan memastikan pekerja tidak diketepikan untuk mendapat perlindungan sewajarnya dan yang diperlukan dalam undang-undang.

Beliau berkata pegawai-pegawai Kementerian Sumber Manusia sedang berbincang dengan serius dan berinteraksi dengan pelbagai pihak berhubung skim cadangan itu.

"Kerajaan akan membuat keputusan mengenai skim ini tidak lama lagi," katanya dalam ucaptama pada majlis perasmian Seminar ASEAN mengenai 'Mengimbangi Fleksibiliti dan Keselamatan dalam Pasaran Kerja' di sini Rabu.

Skim insurans pekerjaan telah diumumkan semasa Bajet 2015 tahun lalu dengan cadangan untuk memberi bantuan saraan sementara, latihan semula dan mempertingkatkan kemahiran bagi mereka yang diberhentikan oleh majikan mereka.

Ismail berkata skim yang serupa boleh didapati di hampir semua negara maju sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kesannya terhadap pekerja.

Beliau juga berkata kementerian ingin melihat 'keseimbangan yang lebih baik' antara prerogatif majikan untuk memberhentikan pekerja dan juga 'perlindungan' yang diperlukan yang akan digunakan dalam undang-undang untuk memastikan pekerja tidak menjadi mangsa.

Katanya semasa krisis ekonomi tahun 1997 dan 1998 dan sekali lagi pada tahun 2008 dan 2009, terdapat peningkatan kes pemecatan secara tidak adil difailkan di Jabatan Perhubungan Perusahaan.

"Selepas tempoh itu, kes pemecatan secara tidak adil adalah dalam kadar normal dan tidak membimbangkan.

"Tetapi dengan kelembapan ekonomi dunia yang mungkin boleh berlaku pada masa akan datang, kita (kementerian) semakin bimbang bahawa kes pemecatan itu dan pemberhentian kerja akan bertambah," katanya.

Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Top