SIAPA yang mampu menahan amarah apabila usaha, keringat dan pelaburan jutaan ringgit dicuri tanpa sedar hingga mengganggu-gugat empayar perniagaan yang dibina sejak sekian lama.

Hati wanita berusia 54 tahun itu tersentak ketika diberitahu identiti jenama syarikat miliknya yang digunakan sejak hampir lapan tahun itu ‘dicuri’ oleh seorang pengusaha.

Variasi produk dengan label nama My Haiz Sdn. Bhd. menanggung kerugian yang besar akibat pelanggaran hak harta intelek.

Enggan terus dianiaya, Fauziah Mohamed Yah mengambil langkah awal dengan melaporkan ‘kecurian’ hak itu kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan keadilan.

“Saya mampu mengambil tindakan kerana cap dagangan telah didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang menjaga hak harta intelek pemilik berdaftar.

“Bayangkan apa pula nasib pengusaha terutamanya peniaga tempatan di kawasan terpencil yang tidak tahu menahu bahawa produk mereka telah ditiru tetapi pada masa yang sama, ada pihak lain mengaut keuntungan yang jauh lebih besar daripad mereka,” ujar Fauziah yang mendaftarkan perusahaan biskut Haiz dan beberapa produk lain syarikatnya sejak sedekad lalu.

Kisah peniruan itu hanya diketahui Fauziah selepas diberitahu bahawa produk keluarannya ada terjual di beberapa lokasi yang dia sendiri tidak tahu kewujudannya.

“Sebenarnya ada banyak cara yang dilakukan oleh peniru untuk mengeksploitasi produk-produk di pasaran sehinggakan pengusaha asal tidak menyedarinya.

“Walhal kami sendiri tidak menjual produk tersebut tetapi si peniru menggunakan cap dagangan yang seakan-akan sama dengan cap dagangan asal bagi mengelirukan pengguna,” ujar ibu kepada tujuh orang anak itu.

Menubuhkan syarikat pada April 2003, Fauziah memfokuskan perniagaan pembuatan makanan yang merangkumi biskut dan snek tempatan.

Sehingga kini sebanyak 15 produk sudah berada di pasaran dan 10 daripadanya telah didaftarkan di bawah MyIPO bagi menjaga hak eksklusif daripada diciplak atau ditiru oleh orang lain.

Program khusus

“Cuma saya mencadangkan, pihak MyIPO menjalankan lebih banyak program khusus kepada pengusaha baharu kerana ramai yang tidak tahu cara-cara untuk mendaftar.

“Kesedaran itu ada tetapi mereka tidak tahu kepada siapa yang perlu dirujuk. Sekurang-kurangnya jika ada program khusus untuk permohonan pendaftaran, ia akan memudahkan urusan,” kata anak kelahiran Jasin, Melaka itu lagi.

Menjawab cadangan yang diutarakan Fauziah, Ketua Pengarah MyIPO, Shamsiah Kamaruddin berkata, agensi itu telah mengadakan Kempen Kesedaran Harta Intelek sejak pertubuhan tersebut dikorporatkan pada Mac 2003.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan setiap tahun seperti pameran, seminar, bengkel dan latihan pengkhususan selain mengadakan sambutan Hari Harta Intelek Negara pada 26 April setiap tahun.

“Pada masa sama, MyIPO diberi peruntukan khas untuk memperluaskan skop ekosistem harta intelek dengan mengadakan Modul Penilaian Harta Intelek dan Modul Latihan Penilai Harta Intelek serta menubuhkan Portal IPR Marketplace bagi kemudahan orang ramai,” ujarnya ketika ditemui di ibu pejabat MyIPO di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas mengenai portal tersebut, Shamsiah menambah, ia bertujuan sebagai platform kepada pemilik harta intelek menguar-uarkan aset mereka untuk tujuan jual beli, pelesenan dan pengkomersialan.

PENGUSAHA boleh mendapatkan khidmat nasihat dan maklumat terperinci daripada pegawai MyIPO.

Ia juga boleh dimanfaatkan kepada pembekal atau syarikat dalam dan luar negara yang berminat untuk merujuk portal tersebut bagi mendapatkan maklumat yang berkaitan.

“Dengan adanya program yang dipelbagaikan, MyIPO nampak keberkesanannya melalui pemfailan harta intelek tempatan yang sentiasa meningkat saban tahun,” terangnya.

Sehingga Ogos tahun lalu, jumlah pendaftaran harta intelek dicatatkan sebanyak 20,577 berbanding tahun 2009 dengan hanya 20,039 pendaftaran. Walaupun peningkatan sebanyak 21 peratus diperoleh dalam pendaftaran baharu MyIPO, namun tahap kesedaran pengusaha tempatan masih belum memuaskan.

Daripada jumlah keseluruhan pendaftaran sehingga Ogos 2014, hanya 7,364 pendaftaran diterima daripada pengusaha tempatan berbanding 13,213 oleh pendaftar asing.

Kurang fokus

Menurut Shamsiah, situasi itu berlaku kerana mereka kurang fokus kepada pendaftaran harta intelek kerana ia bukan perkara wajib sebelum memulakan perniagaan.

“Cuma, selepas berlaku sesuatu pelanggaran harta intelek, barulah timbul kesedaran bahawa mereka perlu mendaftar bagi mendapatkan perlindungan daripada dieksploitasi oleh pihak lain yang berkepentingan.

“Ramai pengusaha yang terdiri daripada pereka cipta atau perkhidmatan merasakan usaha yang dilakukan MyIPO membawa keuntungan atau faedah kepada mereka.

“Kebanyakan mereka lebih suka berniaga secara kecil-kecilan,” jelas Shamsiah.

Antara faktor lain ujar Shamsiah, mungkin disebabkan subjek harta intelek terlalu teknikal yang memerlukan pemahaman yang serius.

“Disebabkan itu, pengusaha tempatan tidak memberikan tumpuan kepada perkara ini dan kurang berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam,” jelas beliau.

Hasil maklum balas yang diterima pada seminar atau program yang diadakan, MyIPO mendapati, ramai usahawan merasakan pemfailan harta intelek memerlukan yuran pendaftaran yang tinggi.

Borang yang perlu diisi juga dipenuhi dengan maklumat teknikal dan kurang difahami. Ia menjadi sukar kepada pengusaha baharu atau tidak berpengalaman meneruskan niat mereka untuk mendaftar.

Terang Shamsiah, masalah tersebut boleh diatasi menerusi penerangan dan khidmat kaunter nasihat yang sentiasa membantu bagi memudah dan menyenangkan pengguna untuk membuat pendaftaran.

Perkara sama turut dilalui oleh Fauziah ketika baru mendaftarkan syarikatnya bersama MyIPO. Pelbagai sumber dan maklumat digali bagi mendapatkan informasi yang mencukupi.

“Saya sendiri pergi berjumpa dengan pegawai-pegawai berkaitan untuk bertanyakan perkara-perkara yang kurang jelas.

“Ia penting bagi membolehkan kita mengetahui peraturan dan tindakan yang boleh diambil jika berlaku pelanggaran atau peniruan terhadap produk keluaran syarikat,” ujarnya.

Pengguna bukan sahaja memperoleh hak eksklusif ke atas penggunaan harta inteleknya malah boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menggunakan nama atau produk tanpa kebenaran.

FAUZIAH (kiri) mendaftarkan hampir kesemua produknya di bawah MyIPO.

Selain itu, ia juga mampu memberi nilai kepada harta intelek sehingga menjadi satu aset perniagaan atau dipanggil sumber ekonomi baharu.

Jelas Shamsiah, jika berlaku sebarang pelanggaran hak, pemilik boleh mengambil tindakan mahkamah dan menuntut kerugian serta menghalang pihak peniru atau penciplak produk mereka menerusi tindakan sivil.

“Aduan juga boleh dibuat kepada Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

“Pihak penguatkuasaan akan membuat serbuan ke premis-premis dan membawa pihak yang melanggar harta intelek ke mahkamah untuk didakwa,” terangnya.

Bagi setiap permohonan dan pendaftaran yang difailkan akan melalui proses pemeriksaan oleh MyIPO. Ia akan mengikut peruntukan akta dan peraturan yang berkaitan.

Pendaftaran yang telah diluluskan akan diberi Sijil Pendaftaran yang boleh diguna pakai bagi tujuan mengeksploitasi harta intelek mereka.

Terdapat lima pecahan harta intelek yang boleh didaftarkan oleh pengguna iaitu paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, petunjuk geografi dan hak cipta.

Daripada jumlah 41,638 permohonan pada tahun 2013, komponen harta intelek tertinggi yang telah didaftarkan ialah cap dagang iaitu sebanyak 26,979, diikuti paten (2,691) dan reka bentuk perindustrian (2,001). - Kosmo Online

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Top