PELABUR asing dilihat terus optimis terhadap potensi Malaysia meskipun negara berdepan cabaran ekonomi global seperti kejatuhan harga minyak dan penyusutan nilai mata wang ringgit, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ini dapat dilihat menerusi kehadiran ramai pelabur asing pada majlis makan tengah hari perniagaan anjuran Khazanah Nasional Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan InvestKL.
"Kalau kita buat apa-apa majlis, serentak dengan beberapa majlis lain di Davos ini, (dan) mereka perlu pilih acara yang hendak dihadiri.
"Jadi, bila kita dapat kualiti seperti kehadiran tengah hari tadi (Khamis), ini menunjukkan bahawa mereka mempunyai keyakinan dan perasaan optimis tentang masa depan ekonomi Malaysia dan dasar-dasar yang kita amalkan serta prospek perniagaan yang boleh mereka raih," kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF), di sini.
Beliau berkata pelabur asing juga senang dan jelas terhadap dasar-dasar yang diamalkan kerajaan yang juga mesra perniagaan dan memudahkan urusan pelabur.

Ini terbukti dengan penarafan yang diberikan agensi antarabangsa seperti WEF yang menunjukkan daya saing Malaysia semakin kompetitif melalui pelaksanaan langkah-langkah yang membantu perniagaan.

Terdahulu, Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin enam syarikat multinasional yang turut memberi komitmen mereka untuk terus melabur di Malaysia serta berminat mengembangkan lagi penyertaan di Malaysia.

Syarikat-syarikat tersebut ialah BAE System, Standard Chartered Group, Royal Dutch Shell PLC, Nestle, General Electric dan Lloyds.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Malaysia masih berupaya mencapai bajet berimbang menjelang 2020 dengan sasaran defisit fiskal yang disemak semula, Najib berkata negara masih berada pada landasan yang betul.

Beliau berkata meskipun sasaran defisit fiskal tahun ini disemak semula kepada 3.2 peratus berbanding tiga peratus sebelum ini, namun Najib yakin Malaysia mempunyai ruang untuk mencapai matlamat tersebut.
"Itu merupakan satu sasaran jangka panjang kita... seperti kita sedia maklum, kalau kita ada sasaran jangka panjang, kita mesti beri tumpuan dan fokus kepada sasaran tersebut (dan) pencapaian itu setakat ini, ikut jadual.

Cuma tahun ini kita semak semuka sedikit tapi pada tahun ini, apa yang mustahak ialah unjuran atau trend itu adalah ke arah defisit yang menguncup," katanya.
Perdana Menteri, pada Selasa mengumumkan sasaran kadar defisit fiskal 2015 disemak semula ekoran kejatuhan harga minyak mentah dunia. - Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Top