Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp.), Datuk Hafsah Hashim berkata, sememangnya sudah menjadi hasrat kerajaan dan SME Corp., untuk menyediakan persekitaran perniagaan lebih kondusif dan membantu mereka merebut peluang-peluang yang terbuka luas.

Katanya, SME Corp., dari semasa ke semasa akan cuba mendekati golongan PKS bagi memastikan mereka mampu bertahan dalam menghadapi cabaran ekonomi melalui pelbagai langkah dan taktik yang dilaksanakan.

“Melihat kepada pengalaman kita melalui krisis ekonomi pada 1997 dan juga 2009, kita melihat PKS berupaya melepasi halangan-halangan itu. Bagaimanapun ketika ini, kita tidak berhadapan dengan krisis ekonomi sebagaimana yang berlaku dulu.

“Namun, sudah semestinya warga PKS menyambut baik dan positif terhadap pengumuman yang dibuat kali ini sama ada untuk mereka yang baru memulakan perniagaan sehinggalah kepada inisiatif SME-Go dan juga menggalakkan pembelian barangan Malaysia daripada pembekal tempatan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Universiti Start Up 2015 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UM, Prof. Dr. Rofina Yasmin Othman.

Program yang dianjurkan UM itu menyediakan platform kepada para pelajar universiti dan belia dengan peluang untuk meluaskan rangkaian perniagaan dan meraih pengetahuan berguna melalui pameran teknologi permulaan serta sesi perbincangan melibatkan panel-panel profesional.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penstrukturan semula Bajet 2015 yang menyaksikan cadangan penubuhan Majlis Eksport Kebangsaan bagi membantu pengeksport terutama PKS untuk mendapat prospek pelanggan baharu dalam pasaran baharu di bawah program jaringan antarabangsa menggunakan penghubung pasaran dan pakar industri.

Pada pembentangan itu, kerajaan juga akan menggiatkan aktiviti mempromosi perkhidmatan gantian-import seperti perkhidmatan perkapalan, pelabuhan, pendidikan dan profesional bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar bagi perolehan barangan dan perkhidmatan.

Selain itu, program promosi eksport akan digerakkan secara aktif di 46 buah negara meliputi Asia, Eropah, Asia Barat dan Amerika Syarikat termasuk memperkenalkan SME-Go melalui SME Bank, sebuah program eksport untuk PKS dan memanfaatkan Dana Perkhidmatan Eksport serta program promosi PKS untuk meningkatkan kemampanan eksport ke luar negara.

Hafsah juga percaya dengan inisiatif terbaharu itu dapat membantu SME Corp mencapai sasaran 10 peratus untuk mewujudkan syarikat-syarikat permulaan bagi tahun ke tahun seperti mana yang termaktub di bawah Pelan Hala Tuju PKS menjelang 2020.

Katanya, selepas dua tahun pelan tersebut dilancarkan, syarikat-syarikat permulaan sudah mencapai pertumbuhan enam peratus setahun. - Utusan Online

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Top