Bumi Gemilang Industri Sdn. Bhd. (BGI) dengan kerjasama Koperasi Telekom Malaysia (Kota Mas) merancang program pembangunan khas dalam membangunkan taraf keusahawanan bumiputera melalui program pembangunan keusahawanan.

Pengarah Urusan BGI, Ahmad Fadzir Ahyat berkata, pihaknya akan memberi bimbingan keusahawanan selain menyediakan keperluan perniagaan kepada para usahawan.

Katanya, program ini hanya untuk ahli Kota Mas dan projek perintis akan bermula di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Kami memilih untuk bekerjasama dengan Kota Mas berikutan rekod pengalaman koperasi itu yang sudah mencecah 92 tahun selain mempunyai pengaruh tersendiri,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran program pembangunan keusahawanan BGI-Kota Mas di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Kota Mas, Datuk Ismail Nordin; Pengurus Pembangunan Perniagaan BGI, Shariza Tuah dan Setiausaha Kota Mas, Datuk Mustapha Mohd. Nasir.

Kota Mas kini memiliki lebih 25,000 ahli di seluruh Malaysia.

Ahmad Fadzir berkata, lima bentuk bantuan yang akan disediakan BGI untuk usahawan-usahawan Kota Mas ialah tapak perniagaan, bantuan pinjaman, urusan majlis, kursus perniagaan dan bekalan ke­perluan perniagaan.

Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM5 juta hingga RN10 juta untuk melaksanakan program pembangunan keusahawanan ini.

Katanya, setiap peserta program layak menerima bantuan pinjaman maksimum RM100,000 dan buat permulaan, seramai 50 peserta dipilih.

Menurutnya, ahli-ahli Kota Mas boleh menjalankan pelbagai perniagaan termasuk perniagaan herba, susu kambing, kios ais krim, kafe dan menjual pakaian. - Utusan Online

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Top