Adrina (bukan nama sebenar) bekerja sebagai eksekutif akaun di sebuah syarikat telekomunikasi di Kuala Lumpur. Dengan pendapatan bulanan RM4,500, sepatutnya sudah cukup baginya untuk menampung hidupnya di ibu kota memandangkan masih bujang.

Tetapi, Adrina sebenarnya mempunyai baki tertunggak kad kredit hampir RM80,000 kerana kerap melancong ke luar negara sejak beberapa tahun ini.

Menurut Adrina, dia melancong ke luar negara setiap hujung tahun dan gemar beli dan mengumpul barangan antik daripada negara dilawatinya.

Adrina tidak sedar hutang kad kreditnya meningkat akibat digunakan untuk melancong sehingga tidak mampu untuk membayar hutang kad kredit tersebut walaupun bayaran minimum sebanyak lima peratus.

Dalam keinginan Adrina membayar balik hutang kad kreditnya, dia terbaca mengenai satu syarikat pengurusan hutang yang boleh membantu menyelesaikan masalah hutang.

Selepas menelefon syarikat itu, satu pertemuan diaturkan antara Adrina dengan wakil syarikat. Setelah perundingan dilakukan, wakil syarikat itu berjaya meyakinkan Adrina, mereka boleh berbincang dengan pihak bank untuk menyelesaikan hutangnya dan meminta bayaran RM8,000 iaitu sepuluh peratus daripada jumlah hutang Adrina .

Tanpa berfikir panjang, Adrina terus memberikan RM8,000 kepada wakil syarikat itu. Namun selepas beberapa hari menunggu, tiada panggilan telefon diterima. Adrina juga beberapa kali menelefon tetapi gagal.

Barulah Adrina sedar, dirinya ditipu. Sudahlah hutang kad kreditnya tidak dapat diselesaikan, ditambah kehilangan RM8,000 akibat ditipu wakil syarikat tersebut. Dengan perasaan kecewa, Adrina pergi ke bank pengeluar kad kreditnya memohon bantuan.

Pihak bank menasihatkannya pergi ke AKPK untuk mendapatkan bantuan.

Kaunselor AKPK memberitahu Adrina, memang ada sindiket penipuan di mana terdapat mereka yang mengaku wakil daripada sesebuah agensi, termasuk AKPK yang boleh membantu menyelesaikan hutang dengan pihak bank dan meminta sejumlah wang kononnya sebagai bayaran fi kepada proses tersebut.

Tetapi akhirnya mereka hilang selepas menerima wang daripada mangsa. Kaunselor juga memberitahu Adrina, perkhidmatan AKPK adalah percuma dan orang ramai boleh datang terus ke pejabat AKPK untuk berurusan. Adrina kemudian dibantu buat pelan pembayaran balik hutangnya dengan jumlah  mampu dibayar setiap bulan.

Adrina berjanji akan membayar balik hutangnya kepada bank dan berasa gembira kerana akhirnya bebanan hutangnya dapat diselesaikan. Dia berazam untuk menjejaki perbelanjaan mengikut kemampuannya, seperti kata pepatah “Ukur baju di badan sendiri”

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Top