Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah melatih sejumlah 193 syarikat Bumiputera dalam usaha menjadikan mereka pengeksport yang mampan.

Pengerusi Matrade, Datuk Noraini Ahmad berkata, syarikat berkenaan dibimbing menerusi Program Pembangunan Pengeksport Bumiputera (BEDP) dan Program Pembangunan Pengeksport Wanita (WEDP).

Katanya, sebanyak 113 syarikat daripada jumlah itu adalah peserta BEDP dan selebihnya WEDP yang menceburi pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman (F&B), elektrikal, elektronik serta perkhidmatan.

Tambah beliau, program yang diperkenalkan sejak 2004 itu bertujuan membangunkan usahawan Bumiputera supaya menjadi lebih berdaya saing dan berkeyakinan mengenal pasti peluang pasaran eksport.

“Antara insentif diterima peserta program adalah peluang menyertai pameran perdagangan antarabangsa. bengkel, latihan dan seminar berkaitan pasaran eksport di samping menjalin jaringan perniagaan.

“Jumlah eksport yang dicatat oleh syarikat di bawah program ini mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan iaitu 20 peratus peningkatan dan penembusan ke dua pasaran eksport baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Tamat Program BEDP dan WEDP Sesi Pengambilan 2011 dan 2012 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Dzulkifli Mahmud.

Majlis itu meraikan sebanyak 49 syarikat dan antara syarikat di bawah program BEDP yang berjaya mengeksport lebih tiga pasaran antarabangsa ialah Fikrisz Sdn. Bhd., serta Ryverra Chocolate & Confectionary Sdn. Bhd.

Noraini dalam pada itu turut memaklumkan penubuhan persatuan alumni bagi bekas peserta program untuk memperkukuh jaringan kerjasama di antara syarikat di samping menggalak perkongsian pengamalan.

Ujar beliau lagi, sepanjang 2015, Matrade menawarkan sebanyak 119 aktiviti promosi perdagangan dengan 76 peratus daripadanya tertumpu kepada pasaran Asia. - Utusan Online

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Top