28 Ogos  Kuala Lumpur Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) telah menyiasat dengan menyeluruh dakwaan pencabulan hak asasi manusia yang dibangkitkan oleh Wall Street Journal (WSJ) dan menjelaskan yang ia tidak menggaji pendatang tanpa izin.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, ia berkata sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan dan dipengerusi oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah, bagi menyiasat dakwaan dan mengulangi bahawa semua pekerjanya diambil menurut undang-undang dan peraturan.
"Pasukan petugas khas itu mengandungi Jabatan Kelestarian Perladangan dan Pengurusan Kualiti (PSQM), Pasukan Pengurusan Ladang, Jabatan Sumber Manusia, dan Pejabat Presiden Kumpulan, semuanya turun ke kawasan yang disebut dalam laporan bagi menemu bual pekerja ladang sawit dan mencari kebenaran di sebalik dakwaan tersebut," kata FGV.
Merujuk kepada kes pendatang tanpa izin bernama Mohamed Rubel yang dikatakan bekerja di ladangnya di Jempol, Negeri Sembilan, FGV berkata kawasan yang didakwa, iaitu Ladang Palong 21, tidak menggunakan kontraktor buruh.

Ini bermakna semua pekerja di ladang itu diambil secara langsung oleh FGV dan terdapat 167 pekerja asing termasuk 34 warga Bangladesh.

WSJ mendakwa kontraktor tidak membayar gaji pekerja tersebut sejak Disember 2014 dan dia tinggal di sebuah pondok di dalam hutan, jauh dari kedai, serta menyembur racun serangga tanpa sebarang latihan.

Selepas menyemak rekod pekerja dan semua rekod berkaitan, FGV tidak dapat mengesan Mohamed Rubel yang kata-katanya dipetik, dirakam dan diambil gambar oleh WSJ, baik di ladangnya atau dalam mana-mana rekod.

Siasatan pasukan petugas khas dengan bantuan pekerja lain dari Bangladesh di Ladang Palong 21, mengesahkan Mohamed Rubel sebagai pendatang tanpa izin dari Bangladesh yang melawat mereka pada sebelah petang atau selepas waktu bekerja.

FGV turut menegaskan, ladang Palong 21 itu hanya 10 kilometer jaraknya dari sebuah masjid, klinik dan kedai runcit manakala kuarters pekerja pula disediakan kemudahan elektrik dan bekalan air terawat serta dilengkapi tandas, dapur, almari, katil dan ruang ampaian.

Ladang berkenaan juga mempunyai rekod lengkap pengagihan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) dan sebuah buku log mencatatkan rekod latihan keselamatan pekerja.

Merujuk dakwaan bahawa FGV tidak membayar ganti rugi kepada pekerja yang cedera di tempat kerja atau menyediakan bantuan perubatan minimum, siasatan FGV sebaliknya mendapati pekerja yang dipetik WSJ iaitu Al Amin dan Malek Mia, ternyata menerima rawatan perubatan yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak FGV.

Al Amin juga menerima gaji purata sebanyak RM900 sebulan sepanjang tempoh empat bulan pemulihan kesihatannya manakala Malek menerima rawatan penuh di sebuah pusat pakar mata di Kuala Pilah selepas kemalangan di tempat kerja.

Menurut kenyataan itu, FGV turut menanggung kos pengangkutan bagi kunjungan susulan perubatan dan menegaskan dasar syarikat itu yang memberikan bantuan perubatan kepada semua pekerja serta pembayaran ganti rugi bagi kecederaan yang dialami ketika mereka bekerja.

Berhubung dakwaan WSJ yang berdasarkan maklumat diperolehi daripada individu dikenali sebagai 'Muhi' bahawa FGV menahan pasport pekerja dan penggunaan khidmat anggota polis untuk menggertak pekerja dengan hukuman penjara, FGV berkata ia gagal mengesan individu berkenaan dalam sebarang rekod yang ada mahupun melibatkan tenaga kerja kontraktor yang dilantik.
Inilah sebahagian daripada alasannya kenapa kami mendapatkan bantuan WSJ bagi siasatan ini agar dapat memastikan kesemua dakwaan itu adalah benar. 
Bagaimanapun, pasport disimpan di pejabat ladang untuk disimpan dengan selamat. Pasport tidak diambil secara paksa daripada pekerja ataupun ditahan," kata FGV.
FGV mengulangi bahawa ia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang penganiayaan pekerja dan memberikan peluang kepada mereka untuk menyalurkan rasa tidak puas hati mereka tanpa takutkan sebarang kesan daripadanya, sejajar dengan dasar pemberi maklumat kumpulan.

FGV berkata ia juga mendapati wartawan WSJ telah menceroboh ke ladang Palong 21, yang merupakan kawasan persendirian.

"Beliau mengumpulkan pekerja Bangladesh di kuarters mereka mendakwa beliau mahu membantu sekiranya mereka tidak dibayar pampasan atas kecederaan dialami semasa bekerja.

"Beliau tidak pada bila-bila masa memperkenalkan dirinya sebagai wartawan WSJ ataupun menunjukkan sebarang kelayakan atau pengenalan diri. Beliau menemu bual dua pekerja Al-Amin dan Malek Miah yang berlangsung kurang dari lima minit," kata FGV.
FGV bersetuju agar Persidangan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) melantik juruaudit bebas bagi menilai dakwaan yang dilaporkan oleh WSJ serta laporan dalamannya dan telah memulakan proses untuk mendapatkan pihak ketiga menjalankan penyiasatan mereka sendiri bagi tuduhan ini.

Kumpulan itu telah mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pekerja asing mengenai hak dan kebajikan mereka menerusi mesyuarat blok dan sekiranya sebarang pelanggaran pematuhan dan tadbir urus dikenal pasti, ia akan diperbetulkan serta merta.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Top